Sabtu, 31 Disember 2016

NABI KHIDIR MASIH HIDUP?

BENARKAH NABI KHIDIR AS MASIH HIDUP?

Hadis-hadis yang menerangkan bahawa Nabi Khidir masih hidup adalah;

1. Ad-Daraqathni riwayat dari Ibnu ‘Abbas,

“Nabi Khidir dan Nabi Ilyas bertemu setiap tahun ketika musim haji, dan mereka berdua saling mencukur (tahalul) kepala satu sama yang lain.”

Ibnu Hajar mengatakan sanadnya lemah. Sementara riwayat Ahmad dalam az-Zuhd dan ath-Thabarani dengan penambahan,

“Mereka berdua berpuasa Ramadhan di Baitul Maqdis.”

Ibnu Hajar mengatakan sanadnya hasan.

2. Musnad Abu Usamah

“Nabi Khidir di samudera dan Nabi Ilyas di daratan, mereka bertemu setiap malam di tembok yang dibuat Zulkarnain.” (Lihat Syawahid al-Haq hlm. 200 tentang 4 hadis yang dibawakan Ibnul Jauzi)

Al-Hafizh al-Munawi mengatakan bahawa hadis ini dha‘if, akan tetapi menjadi kuat (hasan) kerana banyaknya riwayat dengan lafaz yang berbeza termasuk dalam al-Mustadrak.

Dan kesimpulannya, hadis di atas adalah hasan atau sahih bukan lagi dha‘if. (Faidh al-Qadir juz 3 hlm. 618-619)

Syaikh Yusuf an-Nabhani mengatakan,

“Keterangan bahawa Nabi Khidir masih hidup sudah menjadi ketetapan para wali dan didukung oleh para ahli fiqh, ahli ushul dan hampir majoriti ahli hadis, begitulah yang dikatakan oleh Syaikh Abu ‘Amr bin ash-Shalah yang dinukil oleh an-Nawawi dan menyetujuinya.” (Syawahid al-Haq hlm. 198-200)

Beliau menambah, sejumlah besar masyayikh (kiai) malah tak terhitung jumlahnya, pernah berkumpul satu majlis dengan Nabi Khidir. Izzuddin bin Abdissalam ketika ditanya apakah Nabi Khidir masih hidup, beliau mengatakan,

"Demi Allah, tujuh puluh para shiddiqin mengabarkan bahawa mereka melihat Nabi Khidir dengan mata kepala mereka.”

Yusuf an-Nabhani berkata,

“Demi Allah, telah mengabarkan kepadaku tidak hanya satu waliyullah, bahawa mereka pernah berkumpul dengan Nabi Khidir.

Dan demi Allah, para auliya’ mengabarkan kepadaku bahawa aku pernah berkumpul satu majlis dengan Nabi Khidir dan bertanya sesuatu kepadaku dan aku menjawabnya, namun aku tidak mengenalnya kerana orang yang dapat mengenalnya hanyalah orang yang mempunyai nur (cahaya keimanan)."

Keterangan ini disampaikan kerana Ibnul Jauzi ingkar tentang masih hidupnya Nabi Khidir serta berselisih keterangan para wali yang shiddiqin.

Menurut al-Yafi‘i, keterangan yang diberikan Ibnul Jauzi dengan menyampaikan hadis tentang masih hidupnya Nabi Khidir adalah saling bertentangan.

Beliau ingkar tapi anehnya, beliau juga meriwayatkan 4 hadis muttashil yang menerangkan tentang masih hidupnya Nabi Khidir. (Ibid. hlm. 200 dan Fatawi Haditsiyyah hlm. 218)

ANTARA ULAMA YANG MENGATAKAN NABI KHIDIR MASIH HIDUP

1. As-Suyuthi dalam Khasha’ish
2. Wahb bin al-Munabbih dalam al-Mubtada’
3. Al-Khazin dalam tafsirnya
4. An-Nawawi
5. Ibnu Hajar al-Haitami dalam Fatawi Haditsiyyah
6. Al-Hafizh Ibnu Hajar
7. Ash-Shafuri dalam Nuzhatul Majalis
8. Imam Nawawi Banten dalam Nur azh-Zhalam. Beliau mengatakan masalah Nabi Khidir masih hidup diperselisihkan ulama namun pendapat yang boleh dipegang adalah Nabi Khidir masih hidup.

BUKTI NABI KHIDIR MASIH HIDUP

1. Saidina Ali melihat Nabi Khidir berada di Kaabah. (Inayatul Muftaqir hlm. 52)

2. Al-Mursyi, murid Syaikh Abul Hasan asy-Syadzili mengatakan,

“Nabi Khidir masih hidup dan aku benar-benar telah bersalaman dengan tanganku ini. Pernah suatu hari Nabi Khidir as mendatangiku, beliau mengenalkan diri dan aku minta supaya diberitahu tentang arwah-arwah orang muslim, apakah diseksa atau diberi nikmat?

Andai datang kepadaku seribu ahli fiqh dan mendebatku bahawa Nabi Khidir telah wafat, maka aku tidak akan mengikuti pendapat mereka.”

(Al-Madrasah asy-Syadziliyyah hlm. 186)

3. Abul Hasan asy-Syadzili bertemu Nabi Khidir di padang Aidzab. (An-Nafahat asy-Syadziliyyah hlm. 280)

4. ‘Umar bin Sinan mengatakan,

Kami bertembung dengan Ibrahim al-Khawwash, aku berkata kepadanya,

"Ceritakanlah kepada kami hal yang paling menakjubkan yang engkau lihat dalam perjalananmu!"

Ibrahim menjawab,

"Aku bertemu dengan Nabi Khidir as dan minta untuk menemaniku dalam perjalanan, lalu aku khuatir akan merosakkan sifat tawakalku (kepada Allah) dengan merasa selamat bersama dia, maka kemudian aku berpisah dengannya.”

(Risalah al-Qusyairiyyah hlm. 166)

5. Bisyr al-Hafi menceritakan,

Aku mendengar Bilal al-Khawwash berkata,

"Ketika aku berada di Padang Tih Bani Isra’il. Tiba-tiba seorang lelaki menemaniku berjalan dan aku kehairanan. Kemudian aku diberi ilham oleh Allah bahawa lelaki tersebut adalah Nabi Khidir as. Kemudian aku bertanya kepada lelaki tersebut,

‘Demi kebenaran Allah yang haq siapakah saudara?’

Lelaki tersebut menjawab, ‘Aku saudaramu, Khidir.’

Lalu aku katakan, ‘Aku bermaksud bertanya kepadamu?’

‘Bertanyalah!’ jawab Khidir.

Lalu Bilal bertanya, ‘Bagaimana pendapat engkau tentang asy-Syafi’i ra?’

Khidir menjawab, ‘Dia lelaki yang shiddiq.'

(Ibid. hlm. 405.)

TIDAK LAGI HIDUP DENGAN JASAD?

Bukhari, Ibn al-Mandah, Abu Bakar al-Arabi, Abu Ya’la, Ibn al-Farra’, Ibrahim al-Harbi dan lain-lain berpendapat, Nabi Khidir as tidak lagi hidup dengan jasadnya, dia telah wafat. Yang masih tetap hidup adalah rohnya saja, sebagaimana firman Allah,

“Kami tidak menjadikan seorang pun sebelum engkau (hai Nabi), hidup kekal abadi.” (al-Anbiya’: 34)

Hadis marfu’ dari Ibn Umar dan Jabir menyatakan,

“Setelah seratus tahun, tidak seorang pun yang sekarang masih hidup di muka bumi.”

Manakala Ibn Hajar al-Asqalani di dalam 'Fath al-Bari' menyanggah pendapat orang-orang yang menganggap Nabi Khidir as telah wafat.

Dia mengatakan Nabi Khidir as adalah manusia makhsus (dikhususkan Allah), tidak termasuk dalam pengertian hadis di atas.

Banyak riwayat-riwayat tentang Nabi Khidir as dalam kitab-kitab yang mu’tabar. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Khidir masih hidup dan mati di tangan Dajjal.

Dajjal akan menangkap seorang pemuda beriman. Kemudian dajjal menyuruh menyembahnya, tapi pemuda itu menolak dan tetap beriman pada Allah. Lalu Dajjal membunuhnya dan membelahnya menjadi dua.

Satu bahagian dilempar sejauh mata memandang dan satu bahagian dilempar sejauh mata memandang ke sebelah lainnya. Kemudian Dajjal menghidupkan kembali pemuda itu.

Dajjal menyuruhnya agar beriman kepadanya kerana dia telah mematikannya lalu menghidupkannya. Pemuda itu tidak mahu dan tetap beriman kepada Allah serta mengatakan, “Kamu benar-benar Dajjal!!”. Lalu Dajjal mewafatkannya lagi.

Ada riwayat yang mengatakan pemuda beriman ini adalah Nabi Khidir as.

Wallahua'lam

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.