Rabu, 5 November 2014

KESENGSARAAN ITU PENUH HIKMAH


Tidak selamanya rasa sakit itu tidak berharga, sehingga harus dibenci. kerana kemungkinan rasa sakit itu justeru akan mendatangkan kebaikan bagi sesorang.

Sesungguhnya, ketulusan sebuah doa muncul tatkala kesakitan yang perit dan ketulusan tasbih yang sentiasa terucap datang dari hati yang sakit. Begitu juga penderitaan dan bebanan yang dialami oleh sesorang pelajar untuk menuntut ilmu, yang pada akhirnya menjadikan seorang pelajar itu seorang ilmuan yang terkemuka. Demikianlah, kerana dia telah bersusah payah di awal perjalanannya, sehingga ia boleh menikmati kesenangan di akhirnya.

Contoh pola kehidupan yang paling baik adalah kehidupan kaum mukminin generasi awal, iaitu mereka yang hidup pada masa kerasulan, kelahiran agama ini. Mereka adalah orang-orang yang memiliki keimanan yang kukuh, hati yang terbaik, bahasa yang bersahaja, dan ilmu yang luas.

Semua itu mereka perolehi kerana mereka hidup dalam masa yang penuh dengan kesulitan dan penderitaan. Mereka pernah menderita kelaparan, miskin, diusir, disakiti dan rela meninggalkan semua yang dicintai, diseksa, bahkan dibunuh. Dan kerana semua itu pula mereka menjadi orang-orang pilihan, mereka menjadi tanda kesucian, panji kebajikan, an menjadi simbol pengorbanan.

"yang demikian itu ialah kerana mereka ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, an tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik." (At-Taubah:120)

Di dunia ini, ramai orang yang kaya kerana mereka mampu menjadikan penderitaan sebagai perantaraan mencapai kekayaan. Oleh kerana itu, jangan takut dengan penderitaan dan jangan khuatir dengan kesengsaraan kerana terkadang penderitaan itu jesteru memberikan kekuatan bagimu dan akan menjadi sebuah kenikmatan pada suatu hari nanti. Jika kita hidup dengan hati yang membara, terbakar dan jiwa yang bergelora kerana penderitaan, akan lebih baik dan lebih terhormat daripada hidup dengan perasaan yang dingin, semangat yang layu dan jiwa yang lemah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.