Khamis, 13 November 2014
JALAN TARIKAT
Posted on 3:00 PG by Qalam-hatiku.blogspot.com
Adapun jalan tarikat ini adalah jalan yang pernah diterokai dan dilalui bagi tujuan untuk merapatkan dirinya dengan Allah s.w.t. Ia merupakan suatu jalan bagaimana hendak menyucikan diri dan hati, supaya terbentuk satu jalinan ikrab di antara dirinya dengan Allah s.w.t.
Sesuatu jalan Tarikat yang sebenar adalah merupakan satu cara menyucikan diri untuk menuju kehadrat Allah Taala dan jalan ini hendaklah mempunyai akar umbi persambungan daripada Rasulullah s.a.w.
Jalan Tarikat yang mendapat restu dan junjungan agong itu kemudiannya diwarisi pula oleh para sahabat Baginda dan seterusnya bersambung menjadi mata rantai dan diwarisi pula oleh para wali Allah yang agung dan sampailah kepada seseorang guru asalnya untuk mengajar saluran jalan Tarikat ini seterusnya.
Sesungguhnya mana-mana Tarikat yang tidak mempunyai asas akar umbinya daripada Baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya yang akrab, maka jalan Tarikat itu adalah satu jalan Tarikat yang salah dan rekaan semata-mata. Ianya diasaskan mengikut pandangan sendiri dan Tarikat ini tidak akan sampai kemana-mana.
Oleh itu sesiapa saja yang hendak mengikut jalan pengajian Tarikat, maka adalah menjadi tanggungjawabnya membuat penentuan asal pangkal sesuatu Tarikat itu. Dan tentukan ianya berasal dari Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.
Jalan Tarikat adalah satu cara memuja dan memuji Allah dan melatih diri supaya tidak melupai Allah pada setiap ketika dan memberi segala keagungan dan kebesaran itu kepada Allah semata-mata.
Jalan menyucikan diri dan hati ini adalah melalui proses mengenal nafsu-nafsu yang dimiliki oleh manusia, supaya ianya tidak lalai dan lupa dirinya dan Tuhannya dan seterusnya bangun memberi keagungan itu kepada Allah Taala.
Seperti firman Allah di dalam Al-Quran:-
"Hai orang yang berselimut bangunlah. Lalu beri peringatan dan Tuhanmu agungkanlah dan pakaian (lahir&batin) bersihkanlah."
Di samping itu juga orang Tarikat mengasuhkan dirinya supaya kasihkan kepada Allah dan Allah mengasihi dirinya.
Dan firmn Allah lagi di dalam Al-Quran:-
(surah Ali Imran ayat 31)
"Jika kamu benar-benar menyintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi (dikasihi Allah).
Adapun nafsu yang dimiliki oleh manusia itu seperti yang tercatit di dalam Al-Quran adalah terbahagi kepada tujuh:-
1- Amarah
2- Malhamah
3- Lawamah
4- Mutmainah
5- Radhiah
6- Mardhiah
7- Kamaliah
Dengan mengenal nafsu-nafsu tersebut, maka orang-orang Tarikat akan mencapai martabat di taraf nafsu-nafsu tersebut yang mempunyai kelebihan berlainan di antara satu martabat nafsu dengan nafsu yang lain.
Untuk mengenal dan mencapai martabat nafsu-nafsu itu seseorag itu hendaklah menuntut dan mengamalkan saluran ilmu Tarikat daripada guru-gurunya yang mursyid dan dapat pula mencapai martabat nafsu-nafsu tersebut, di samping mereka mengikut petua-petua yang dianjurkan oleh guru mereka dari satu peringkat ke satu peringkat sehingga menjadi manusia kamil dan di redhai oleh Allah di dunia dan akhirat.
Adapun pekerjaan dan amalan orang-orang Tarikat tidak lagi mengharapkan pahala, ertinya apa yang diperlukan semasa amalan tarikat ini hanya bagi mereka semata mengharapkan dirinya dapat mendampingi Allah Taala pada setiap ketika. Mereka bukan lagi gila kepada pahala atau syurga tetapi sebaliknya mereka gila untuk mengenali Tuhannya dengan berusaha untuk mengenal dirinya sendiri. Pendek kata mereka mau Allah semata-mata. Di sini di antara kata-kata mereka yang masyur adalah:-
"Padaku tiada pahala, tiada syurga yang ku idami adalah kekasiku Allah jua".
Adalah perlu ditegaskan di sini bahawa matlamat akhir pengajian Tarikat adalah untuk mengenal diri dan mengenal Allah, menyuci nafsu dirinya ke suatu darjat nafsu yang tertinggi kemulian dengan Allah s.w.t. Mereka akan berusaha sedaya upaya menghampiri dirinya dengan Allah s.w.t di dalam masa hayatnya di alam fana ini pada setiap masa dan ketika.
Categories: Hakikat Insan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.