Khamis, 13 November 2014

JALAN SYARIAT


Adapun yang di namakan jalan Syariat ialah suatu jalan zahir yang membentuk sesuatu peraturan. Aturcara dan peradaban di antara manusia dan Allah, dan manusia sesama manusia serta dengan makhluk-makhluk lain.

Sesungguhnya peraturan-peraturan ini telah di gariskan oleh Allah dalam Al-Quran dan juga digariskan oleh Rasullah s.a.w melalui perbuatan dan ucapannya yang diberi nama Hadis.

Jika manusia benar-benar mengikuti peraturan-peraturan syariat ini maka manusia itu tidak mungkin sesat dalam hidupnya di dunia ini dan selamatlah di akhirat nanti.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:-

"kamu tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah Rasul."

(Di riwayatkan oleh Muslim)

Di dalam peraturan-peraturan ini Allah telah menggariskan kontek hubungan diriNya dengan manusia, hukum-hukum hidup secara individu maupun secara masyarakat.

Dibincangkan soal akidah, soal ibadat, soal muamalat, soal munakat dan lain-lain peraturan untuk kebahagian manusia sesama manusia dan kebahagian manusia dengan Allah s.w.t untuk dunia dan akhirat.

Di tentukan garis-garis panduan hidup, tentang mana yang wajib, haram, sunat, harus dan makruh, dosa, pahala, syurga dan neraka. Dengan lain perkataan Syariat menggariskan dasar pokok" buatlah yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang".

Adapun peringkat cara Syariat adalah suatu peringkat peraturan pengabadian hamba terhadap Tuhannya maka dengan mengikut garis panduan dan peraturan-peraturan yang ditentukan maka dapatlah seseorang manusia itu menjadi taraf hamba yang paling baik.

Suatu perkara yang perlu diingatkan pada peringkat Syariat ini, pengamal-pengamalnya benar-benar mengharapkan sesuatu balasan atau upahan daripada setiap apa yang dikerjakannya.

Dan dengan upah kerja yang dilakukan itulah mereka yakin akan menentukan sama ada mereka dikurniakan syurga atau terpaksa menghumbankan dirinya ke dalam neraka.

Jadi disini dapatlah disimpulkan bahawa matlamat utama bagi pengamal-pengamal syariat adalah syurga dan seboleh-bolehnya jauh daripada neraka, mereka mempunyai suatu keyakinan buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat.

Berasaskan firman Allah Taala:-
(surah Az-zalzalah ayat 7-8)

"Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zaharahpun, nescaya dia akan melihat (balasan) dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zaharahpun nescaya Dia akan melihat (balasan) nya pula".

(Surah: Mu'mminun ayat 102 & 103)

"Barang siapa yang berat pertimbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang beruntung dan barang siapa yang ringan timbangannya maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri. Kekallah mereka di dalam neraka jahanam".

Di samping mereka berusaha sedaya upaya melakukan sesuatu kerja dengan 'IKHLAS' untuk Allah semata-mata, mereka juga benar-benar mengharapkan satu balasan yang setimpal dengan kerjanya yang dilakukannya.

Ini bermakna mereka berbakti kepada Tuhannya dengan berudang disebalik batu ataupun ada hati di sebalik barang. perkerjaan mereka bolehlah disifatkan sebagai kebaktian separuh hamba.

Lantas jika mereka benar-benar bersifat hamba tulin, maka sudah tentu sebarang pekerjaan yang dilakukan oleh mereka sudah tentu mereka tidak mengharapkan sebarang balasan daripada Tuhannya. Kerana setiap balasan bukan suatu yang boleh dipinta-pinta tetapi ianya lebih merupakan kurniaannya daripada Tuhannya.

Seperti firman Allah di dalam Al-Quran:-
(surah Al-Jin ayat 13)

"Barang siapa beriman kepada Tuhannya maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak akan menambah dosa dan kesalahan".

Apakah elok sesorang yang mengakui dirinya hamba menagih janji dari Tuhannya? Dan apakah mereka sangsi terhadap kebenaran janji Tuhannya? Dari itu bagi seseorang yang mengerti dirinya hamba sudah tentu ianya tidak mengharapkan sesuatu balasan daripada Tuhannya dan ingatlah Allah tidak mungkir janjiNya.

Sesungguhnya bagi mereka yang mengikut cara syariat ini akan mencapai suau martabat beriman dan soleh dan dengan mematuhi segala peraturan-peraturan perhubungan dengan Allah dan perhubu manusia, maka mereka akan dikurniakan syurga di akhirat nanti.

Seperti firman Allah di dalam Al-Quran:-
(Surah Al-Kahfi ayat 107)

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal."

Adalah perlu diingatkan masuknya syurga bagi orang-orang syariat itu bukan sekali-kali kerana pahalanya tetapi sekadar belas ihsan daripada Allah s.w.t diatas kepatuhannya dengan Allah. Walaupun seberapa banyak pahala yang diperolehi oleh mereka, maka sudah tentu tidak boleh membelikan syurga, kerana syurga bukannya sesuatu yang murah menjadi bahan belian dan jualan.

Sebaliknya orang-orang syariat haruslah berikhtiar sedaya upaya mereka menjadikan diri mereka seorang mukmin supaya Allah sendiri membeli dirinya dan hartanya dengan syurga, di atas dasar perjuangan menegakkan peraturan-peraturan Allah di dalam hidupnya.

Maka berbahgialah bagi manusia-manusia yang mengamalkan cara syariat, yang menduduki taraf martabat dirinya sebagai hamba yang mukmin dan mereka sememangnya dijamin oleh Allah syurga dan kekallah mereka buat selama-lamanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.